Kurangnya dialog membabitkan dasar awam di Kabinet mencerminkan masalah dalam tadbir urus kerajaan.

Itu kesimpulan yang dibuat profesor ekonomi politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez.

Kata Edmund, sistem dasar awam adalah hasil daripada apa yang berlaku dalam sistem politik di Malaysia dan buat masa ini, tidak banyak pembaharuan yang dapat dilihat berkenaan dasar awam.

"Saya ingin kembali kepada dasar 2.0 dan projek kereta ketiga Malaysia. Ia membawa kepada persoalan ke mana kita akan pergi. Tetapi adakah dasar-dasar ini benar-benar baharu? Adakah dasar Pandang Ke Timur 2.0 satu yang baharu? Nama pun 2.0, penyusunan semula dasar lama," katanya.

Beliau bekata demikian dalam sesi perbincangan di Business Foresight Forum (BFF) 2019 yang berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, pada Khamis.

Menurut Terence lagi, ketika kereta Malaysia pertama diwujudkan, kehadirannya bersesuaian dengan dasar keadaan semasa ketika itu yang bertujuan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana dengan perusahaan besar.

"Dasar Automatif Kebangsaan dahulu mempunyai Program Pembangunan Vendor. Program ini sangat menarik kerana ia merupakan usaha kerajaan melalui projek kereta Malaysia pertama untuk membawa syarikat kecil ke dalam sektor perindustrian.

"Bagaimana pula keadaannya apabila ia berada dalam projek kereta kedua atau ketiga? Bagaimana pula dengan Geely yang mengambil alih Proton? Apa peranan program pembangunan vendor yang telah lama diwujudkan? Dan bagaimana mereka akan membentuknya semula dari segi aliran pelaburan, baik oleh firma asing atau firma domestik?" soal beliau.

Dalam pada itu, Terence juga menekankan kepentingan agar kerajaan dapat menyusun satu pelan dasar untuk perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dilihat mendominasi sektor perniagaan hari ini.

"Dalam semua perbincangan mengenai GLC, firma besar dan firma asing di Malaysia, 98 peratus daripada sektor itu terdiri daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Sekiranya kita tidak mewujudkan dasar yang betul untuk IKS, negara kita akan mempunyai masalah besar.

"Untuk membentuk dasar yang betul untuk IKS, kita perlu mendapatkan pelaburan dalam research and development (R&D), meningkatkan aspek teknologi dan inovasi.

"Untuk menjadi inovatif mereka mesti melabur dalam R&D yang kosnya tinggi. Untuk melabur dalam R&D mereka mesti mendapatkan keyakinan pelabur bahawa hak harta mereka akan dilindungi.

"Adakah mereka akan dilindungi, di bawah dasar seperti dasar bumiputera? Ia satu kitaran sebenarnya," tegas beliau lagi.

Forum yang dianjurkan kali ketiga itu mensasarkan perbincangan ke arah melahirkan usahawan dan pemain industri yang inovatif, idea peralihan dan transformasi perniagaan yang mencerminkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus, integriti dan akauntabiliti untuk pelabur pasaran global menjelang 2025.