Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilihat banyak menyindir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semasa perbahasan Belanjawan 2019 hari ini.

Dalam perbahasan itu, Khairy yang menyentuh mengenai Dasar Pendidikan Negara berkata menteri tersebut dilihat terlalu sibuk memberi cadangan dan kenyataan yang tidak perlu.

Beliau memberi contoh di mana kenyataan menteri itu baru-baru ini yang ingin mencontohi Jepun dan mengkaji skim sarapan percuma kepada pelajar B40.

"Inilah natijahnya apabila terlalu sibuk dengan perkara tidak penting, masih mahu jadi presiden walaupun dah jadi menteri sampai tidak sedar mengenai program kementerian sendiri iaitu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah bermula sejak1979," katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata adalah lebih baik jika Maszlee membuat syor kepada perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kewangan Lim Guan Eng untuk menyambung semula program RMT.

"Kurangkan kajian tak penting, lebihkan tindakan untuk bantu rakyat."

Selain itu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu turut menyentuh janji Pakatan Harapan (PH) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata dalam Belanjawan 2019 tiada lagi janji PH untuk membayar balik pinjaman sehingga gaji graduan mencapai RM4,000.

"Benarlah bagai dikata, begitu mudah berjanji bagai bulan dan bintang, namun alah mahu bertimbang enggan cungkil meraih akan pembayar."

Ketika perbahasan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong mencelah apabila bertanya kepada Khairy adakah beliau bersetuju PH tidak menepati janji mereka.

Pertanyaan anggota Parlimen Wee Ka Siong itu menarik perhatian Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata secara logiknya isu tersebut merupakan kegagalan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan peminjam berhutang PTPTN.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah bangun mencelah mempertahankan dakwaan tersebut.

"Sebenarnya kita lihat pada tahun 2013 dan 2014, Anggota Parlimen Lembah Pantai dan Port Dickson sendiri sebut nak hapus PTPTN.

"Masa itu, kita bersungguh untuk kutip daripada peminjam, tapi kerana kenyataan tersebut, ia menjejaskan kutipan dan berlaku penurunan."