Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kurangkan kalori, kuranglah bayar cukai?

Kurangkan kalori, kuranglah bayar cukai?
SYED SADDIQ: Mungkin kita boleh berkolaborasi dengan memberi insentif unik kepada restoran yang menjual makanan sihat.
KUALA LUMPUR: BAYANGKAN sekiranya anda membakar sejumlah kalori, anda akan diberi insentif atau dikurangkan daripada membayar cukai.

Itulah senario yang sedang diteliti oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pasukannya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika Malaysia masih ‘di hadapan’ di dalam ranking diabetis dunia.
KBS sedang ‘memecahkan kepala’ mencari apakah mekanisme terbaik untuk mengukur kalori yang dibakar oleh setiap rakyat dan disulam dengan teknologi yang mengumpulkan maklumat di pangkalan data setiap rakyat  untuk diberi pengurangan cukai.

“Ini merupakan antara idea yang sedang diperhalusi dan kami sedang mencari cara bagaimana untuk mengukurnya,” ujar Syed Saddiq.
Menteri kabinet termuda di rantau Asia itu mendedahkan ‘rahsia’ berkenaan ketika ditemu bual di dalam program Agenda AWANI.

KBS tidak hanya melihat kepada pengurangan cukai berdasarkan kepada jumlah kalori tetapi turut meneliti kerjasama dengan pihak swasta untuk menterjemahkan idea mewujudkan skim yang lebih menyeluruh.

Idea di sebalik kaedah itu bermatlamat mewujudkan ekosistem dan rantaian yang menyumbang kepada pembudayaan gaya hidup sihat warga Malaysia termasuk diet dan pemakanan harian.


“Mungkin kita boleh berkolaborasi dengan memberi insentif unik kepada restoran yang menjual makanan sihat agar pengusaha kekal berkembang dan untuk rakyat pula terutama warga yang giat bersukan dapat disalurkan ke kedai-kedai tersebut,” kata Syed Saddiq.

Idea yang mengaitkan jumlah pembakaran kalori dan insentif tertentu bukanlah sesuatu yang baharu. Sebaliknya, mekanisme tersebut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat insurans yang menawarkan pelbagai insentif kepada pengguna yang membakar sejumlah kalori setiap hari, setiap bulan.

Malah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat contohnya, syarikat teknologi yang menawarkan produk jam kesihatan digabung jalin dengan pelan kesihatan individu dan insuran hayat sebagai mekanisme untuk menawarkan insentif tertentu. 




BACA: 'Telur 4 biji, nasi sikit' - Syed Saddiq kongsi tip kekal sihat






Tag: KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Kementerian Belia dan Sukan, kalori, diberi insentif, dikurangkan daripada membayar cukai, tip kekal sihat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.