"Kurniaan ini rezeki saya dan anak" - Siti Nurhaliza

"Kurniaan ini rezeki saya dan anak" - Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza menganggap kurniaan gelaran Datuk Seri adalah rezeki beliau dan bayi dalam kandungannya. - Foto Bernama
PEKAN: "Kurniaan gelaran Datuk Seri ini adalah rezeki saya dan bayi dalam kandungan, kerana rezeki datang dalam pelbagai cara yang berbeza," kata penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Beliau yang sedang mengandung empat bulan itu berkata, kurniaan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri adalah ganjaran kepada usahanya selama 22 tahun bergelar anak seni.

"Penghormatan ini adalah salah satu daripada pencapaian yang mempunyai sejarah tersendiri dalam perjalanan karier saya. Saya yakin setiap masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.
   
Siti Nurhaliza, yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas menjuarai Bintang HMI terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1995 itu, hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad berkenan menyampaikan darjah kebesaran kepada 101 individu termasuk Siti Nurhaliza.

Sementara itu, pelakon Datuk Eizlan Yusof yang tersenarai dengan penganugerahan SSAP berkata, pengurniaan itu akan menaikkan semangatnya untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan selepas 32 tahun berada dalam bidang seni dan korporat.

Ditanya jika beliau berasa terkilan dengan tindakan segelintir individu termasuk rakan seni mempersendakan gelaran itu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof berkata beliau memilih untuk tidak mengendahkannya.

"Saya berpegang kepada prinsip apa sahaja yang kita lakukan, sudah pasti akan ada yang tidak berpuas hati atau tidak suka. Saya menjadikan amalan untuk tidak mudah jatuh dengan kutukan atau dianiaya orang.

"Saya mencuba sedaya upaya untuk membuat orang suka tetapi masih ada yang tidak suka dan saya memaafkan mereka yang mempunyai perasaan tidak baik kepada saya," katanya yang juga Pengerusi Eksekutif Blackstone Dagangan Sdn Bhd.