Menteri Kerja Raya Baru Bian mendedahkan kutipan tol yang dikenakan syarikat konsesi ke atas lebuh raya adalah lebih banyak daripada kos untuk membinanya.

Beliau berkata ketika ini Malaysia mempunyai 29 lebuh raya yang masih beroperasi dengan kos pembinaan RM35.14 bilion dan RM25 bilion dibelanjakan untuk kos penyelenggaraan setiap tahun.

Sebagai perbandingan kata Baru syarikat konsesi telah mengutip keseluruhan sebanyak RM74.65 bilion sejak ia mula beroperasi pada 2017.

"Kerajaan juga membayar pampasan sebanyak RM5.11 bilion antara 1990 dan 2017," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, mengikut perjanjian dua daripada 29 syarikat konsesi itu dijadualkan tamat dalam tempoh 10 tahun, 16 lebuh raya dijadualkan tamat dalam tempoh 11 hingga 20 tahun dan 11 lebuh raya dijadulkan melebihi 20 tahun.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang bertanya adalah kerajaan bercadang untuk menyemak semula perjanjian konsesi memandangkan jumlah kutipan tol telah melebihi daripada kos membuatnya.

Jawab beliau, kementeriannya diberi tempoh enam bulan untuk berbincang dan berunding dengan pihak pemegang taruh dan ia disusuli dengan beberapa kertas cadangan yang mungkin akan dibentangkan di Kabinet.

"Buat masa ini syarikat konsesi faham apa hala tuju Pakatan Harapan dan mereka sangat terbuka untuk perbincangan.

"Kami akan mengkaji kalau terdapat ruang dalam perjanjian membenarkan kami untuk menyemak semua dan mengikut akta sepatutnya," katanya.