Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

KWSP mula terima permohonan i-Lestari maksimum RM500 sebulan

KWSP mula terima permohonan i-Lestari maksimum RM500 sebulan
Pada hari pertama skim i-Lestari dibuka, KWSP menerima sebanyak 100,011 permohonan pengeluaran i-Lestari. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mula memohon pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 mereka pada Rabu dengan jumlah tidak melebihi RM500 sebulan, Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias.

Beliau juga menasihatkan ahli KWSP supaya mempertimbangkan dengan baik mengenai jumlah yang diperlukan sebelum membuat permohonan itu memandangkan ia akan melibatkan jumlah selama 12 bulan.
Menerusi rancangan berita di saluran televisyen Bernama 502, beliau berkata ahli boleh memilih untuk mengeluarkan mana-mana jumlah, seperti RM100 atau minimum RM50, dengan jumlah maksimum RM500 sebulan.

Pada hari pertama skim i-Lestari dibuka, KWSP menerima sebanyak 100,011 permohonan pengeluaran i-Lestari, katanya.
Alizakri berkata bagi yang tidak dapat mengakses laman web KWSP buat masa ini, mereka tidak perlu bimbang kerana tempoh permohonan adalah panjang.

Ahli KWSP tidak perlu berpusu-pusu untuk ke cawangan KWSP dan mereka digalakkan membuat permohonan secara dalam talian atau menerusi aplikasi i-Akaun atau e-mel.

"Kita mahu menjaga keselamatan dan kesihatan ahli-ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19.

KWSP juga telah mempertingkat kebolehcapaian sistemnya sebanyak empat kali ganda, namun itu juga masih tidak mencukupi susulan aliran trafik yang amat tinggi kepada sistem KWSP bagi tujuan permohonan pengeluaran i-Lestari, katanya.

"Kita perlu pastikan segala butiran adalah tepat dan selamat. Ini adalah simpanan ahli-ahli kita. Jadi kita tak mahu sewenang-wenang dengan permohonan ini.

"Kita hendak buat dengan betul dan tepat. Jadi saya sarankan kepada ahli-ahli supaya bersabar. Jangan bimbang, jangan terburu-buru, KWSP ada," katanya

Berdasarkan soalan lazim i-Lestari di laman web KWSP, ahli boleh menghantar borang permohonan pengeluaran i-Lestari mulai 1 April, 2020 hingga 31 Mac, 2021 dengan permohonan hendaklah diterima oleh KWSP sebelum atau pada 31 Mac, 2021.

Kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah dikira bermula daripada tarikh penerimaan permohonan pengeluaran yang diluluskan oleh KWSP hingga tamat tempoh kuat kuasa pengeluaran i-Lestari iaitu 31 Mac, 2021, menurut KWSP.

Dana persaraan itu turut memberi contoh situasi, jIka permohonan yang diluluskan diterima pada April 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah maksimum selama 12 bulan namun sekiranya yang diluluskan diterima pada September 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran hanya tujuh bulan.

Mengikut soalan lazim itu juga, ahli perlu membuat permohonan sekali sahaja dan bayaran pengeluaran akan dibuat secara bulanan dan berulang untuk bulan-bulan berikutnya tertakluk kepada kelayakan bilangan bulan pengeluaran.


-- BERNAMA


Tag: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, kwsp, i-Lestari, akaun 2, ketua pegawai KWSP, covid-19, permohonan, dalam talian, aplikasi, Perintah Kawalan Pergerakan, dana persaraan, Tunku Alizakri Alias



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.