Lablink (M) Sdn. Bhd. (Lablink) terus komited menyediakan perkhidmatan ujian saringan jangkitan COVID-19 menggunakan kaedah molekular diagnostik menerusi ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR).

Pakar Patologi Medical Laboratory (Lablink), Dr Muhammad Nazri Aziz berkata, langkah itu bukan sahaja mampu menghasilkan keputusan ujian yang cepat, tepat dan menyeluruh, malah mampu memberi petunjuk yang betul.

Menurut beliau, kaedah tersebut juga disifatkan sebagai metodologi terbaik dan dilaksanakan di kesemua makmal hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan swasta.

Katanya, ujian berkenaan boleh dilakukan berdasarkan kepada dua kategori iaitu pesakit bergejala dan tidak bergejala.

"Tujuan perkhidmatan ujian COVID-19 menerusi RT-PCR diadakan untuk meningkatkan keupayaan harian dan mengeluarkan keputusan ujian dalam tempoh yang ditetapkan.

"Selain itu, inisiatif yang disediakan Lablink ini bertujuan memberi keutamaan ujian berdasarkan kepada kes-kes yang diklasifikasikan sebagai segera ataupun biasa," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Nazri memaklumkan, menerusi kaedah itu juga, pihaknya mampu melakukan uji kaji terhadap 500 sampel dalam masa sehari.

"Setiap sampel yang diambil akan dikategorikan sebagai segera dan biasa mengikut kes-kes tertentu. Bagi kes segera, keputusan ujian boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam manakala kes biasa pula dianggarkan mengambil masa sehingga 48 jam masing-masing selepas sampel itu diterima.

"Bagaimanapun sekiranya terdapat masalah teknikal dalam menjalani ujian RT-PCR ini, berkemungkinan keputusan ujian akan dilanjut kepada tempoh tertentu," ujarnya.

Sementara itu, Dr Muhammad Nazri berkata, proses ujian makmal dianostik RT-PCR membabitkan tiga fasa iaitu pre-analitikal, analitikal dan pos analitikal.

Jelas beliau, fasa pre-analitikal melibatkan proses pengambilan, pembungkusan tiga lapisan dan pengangkutan sampel ke makmal perubatan di Lablink, Kuala Lumpur.

"Dalam fasa ini juga, setelah menerima kotak sampel, kami akan melakukan pengkelasan mengikut dua kategori iaitu segera atau biasa.

"Bagi fasa analitikal, proses penyahaktifan COVID-19 akan dilakukan dalam masa sejam sebelum menjalankan proses ujian yang seterusnya.

"Fasa pos analitikal pula merujuk kepada interpretasi terhadap keputusan ujian yang dilakukan menerusi RT-PCR sebelum menghantar maklumat ini kepada Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)," jelasnya.