Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan satu serbuan ke atas sebuah ladang ternakan babi di Kampung Tumbuk Pantai, Tanjung Sepat, di sini siang tadi.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata serbuan dilakukan susulan aduan yang diterima mengenai tindakan pemilik ladang berkenaan yang didakwa mencuri bekalan air bersih .

Hasil pemeriksaan, mendapati ladang berkenaan melakukan penyambungan terus dari paip utama dengan menggunakan paip berukuran 32mm.

Bekalan air bersih berkenaan digunakan ladang terbabit untuk aktiviti harian mereka.

“Ada dua tindakan, pertamanya pihak yang disabitkan ini dari segi pihak Air Selangor mereka tetap kenakan bayaran dengan jumlah yang dituntut, dan pihak SPAN juga akan bawa kes ini ke mahkamah untuk disabitkan.

“Sekiranya disabitkan mereka boleh dikenakan RM100,000, maknanya kedua-dua tindakan akan diambil serentak, pihak Air Selangor akan tuntut pihak mereka dan pihak SPAN akan bawa kes ini ke pihak mahkamah,” katanya selepas serbuan di ladang babi terbabit.

Selain itu, semakan juga mendapati ladang itu pernah mempunyai akaun yang sah dan berdaftar dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) namun dipotong kerana masalah tunggakan.

Kes disiasat mengikut seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 123(3) akta yang sama.