Tiga individu dari dua parti politik diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Dua daripada suspek merupakan ahli parti politik UMNO manakala seorang dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketiga-tiga mereka didakwa memegang jawatan selaku ketua pemuda parti masing-masing.

Sumber SPRM sewaktu dihubungi Astro AWANI petang tadi berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan awal 40-an.

Menurut sumber itu lagi, dua suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Sabah manakala seorang lagi ditahan di Pejabat SPRM Tawau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan tangkapan tersebut.

Seleweng dana
Pada 5 Oktober lalu, seorang pemimpin kanan Parti Warisan bersama seorang lelaki dipercayai kontraktor serta Timbalan Setiausaha bahagian infrastruktur di kementerian berkenaan ditahan SPRM.

Ketiga-tiga mereka ditahan di antara pukul 6 petang dan 8 malam Khamis lalu.

Sumber ketika dihubungi Astro AWANI berkata kontraktor itu yang ditahan setelah dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan dana kementerian.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad baru-baru ini mendedahkan pihaknya menyita lebih RM180 juta dalam akaun bank berhubung kes penyelewengan dana kementerian itu di Sabah.