Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudah masuk hari ke-74. Setakat ini, masih ada individu ditahan atas kesalahan ingkar PKP.

Berikut adalah lima tumpuan kenyataan media PKPP oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini:

1) Semalam (Jumaat, 21 Ogos), PDRM menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, 75 individu telah dikompaun dan 11 lagi direman.

2) PDRM juga telah mengadakan 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara pada Jumaat dan memeriksa 28,729 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

3) Sejak 24 Julai sehingga 21 Ogos 2020, sejumlah 15,174 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 69 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan

4) Pada Jumaat, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan 11 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 35 anggota penguat kuasa. Hasil pemeriksaan mendapati 9 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, 1 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 1 lagi tapak binaan tidak beroperasi.

5) Pegawai penguat kuasa KPDNEHP melakukan 1,536 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,529 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 6 premis diberi nasihat dan 1 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.