Isu hina agama semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Walaupun beberapa siri tangkapan telah dibuat, namun segelintir individu masih berdegil.

Terbaharu, polis menahan seorang pemilik akaun Facebook “Zamri Abd Razak” selepas dipercayai memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada 11 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi isu sensitif di media sosial.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” menurut beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis menahan empat individu kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Siti Aisyah.