Seorang lelaki mengalami kecederaan parah termasuk retak tempurung kepala selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi dekat Bintong, Kangar, malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, suspek yang berusia 63 tahun dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Bunga Padi di sini.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, suspek hilang kawalan terhadap keretanya dan terbabas sehingga merempuh mangsa yang ketika itu menunggang motosikal.

"Dia turut merempuh sebuah lori yang diparkir di bahu jalan," katanya di sini pada Isnin.

Difahamkan, mangsa yang berusia 41 tahun sebelum itu dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran rumahnya.

BACA: Pekerja kontrak maut dirempuh pemandu mabuk

Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan, namun Wari berkata, suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan semula sejam kemudian.

Katanya, ujian mendapati dia memandu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang dibenarkan.

Beliau berkata, suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.