Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor berusia 56 tahun dan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Johor esok atas kesalahan meminta suapan.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor.

Menurut sumber, suspek disyaki telah menerima rasuah berbentuk ‘pinjaman’ bernilai RM150,000 daripada seorang pemilik syarikat yang sering berurusan dengannya di Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru berkaitan permohonan dan pembayaran permit kerja mengambil tanah.

Selain itu, suspek juga telah menjalankan urusniaga jual beli tanah dan menggunakan nama anaknya sendiri untuk dijadikan proksi bagi pelaburan tanah berstatus rizab Melayu bersama pemilik syarikat terlibat yang berbangsa Cina.

BACA: Usaha SPRM banteras rasuah bukan bermusim - Ahmad Zahid

Difahamkan, suspek juga telah menerima keuntungan sebanyak lebih kurang RM100,000 hasil urus niaga jual beli tanah itu.

Dalam siasatan pada November lalu, SPRM mengesahkan lelaki terbabit memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas lebih 30 hektar selain tanah rumah kediaman serta sebuah kediaman mewah di beberapa daerah di Johor.

Suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk mengambil tindakan berkaitan hal ehwal pejabat tanah daerah bagi memperoleh tanah selain memperoleh tanah secara pindah milik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dibawa ke mahkamah untuk dituduh esok.