Sebelas orang pelajar perempuan dan seorang guru berjaya menyelamatkan diri apabila asrama Pusat Tahfiz Hafizatul Quran di Chukai, Kemaman, terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu memusnahkan sebahagian tempat penginapan pelajar berusia sembilan hingga lima belas tahun.

Kebakaran turut memusnahkan peralatan milik pelajar termasuk buku, katil, tilam dan barangan lain.

Menurut pengetua tahfiz, Abdul Latif Abdul Kadir, ketika kejadian kesemua pelajar tahfiz sedang mengikuti kelas pengajian al-Quran di bangunan bersebelahan.

Kebakaran disedari salah seorang pelajar yang keluar untuk berwuduk.

"Kebakaran ini bermula di bilik tidur mereka. Selepas sembahyang Maghrib, rutin mereka ialah hafaz al-Quran. Salah seorang daripada mereka ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ketika itu dia ternampak di tingkap kaca bilik tidur ada api.

"Dia kata di tempat yang ada api itu memang tiada plug, plug di sebelah dinding yang lain," kata Abdul Latif.

Menurutnya lagi, kerugian akibat kebakaran dianggarkan hampir RM20,000.

Sementara itu, Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, Azmi Ab Rahim berkata empat jentera bersama 20 anggota dan tiga pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kijal bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 8.38 malam.

Menurut Azmi, ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke bangunan bersebelahan.

"Malam ini, kita dapat menyelamatkan lebih kurang 50 peratus daripada bangunan yang terbakar. Kebakaran melibatkan dua rumah banglo. Kedua-dua tidak terbakar sepenuhnya dan tiada mangsa yang tercedera," katanya pada media malam tadi.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.12 malam.

Unit forensik kebakaran dari JBPM Terengganu akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.