Pihak Berkuasa Tempatan perlu melaksanakan audit keselamatan setiap tahun di semua taman permainan awam di seluruh negara untuk membantu mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan untuk mencegah kemalangan.

Aktivis Keselamatan Tan Sri Lee Lam Thye berkata, audit perlu dijalankan dengan bantuan agensi-agensi yang mempunyai kepakaran.

“Mereka juga harus mendapatkan perkhidmatan inspektor keselamatan taman permainan bertauliah untuk membantu kontraktor memasang dan menyelenggara taman permainan di bawah bidang kuasa mereka.

“Masyarakat secara keseluruhan, terutamanya ibu bapa, juga perlu memainkan peranan untuk membantu memastikan keselamatan kanak-kanak di taman permainan.

“Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika menggunakan alat permainan sementara orang ramai harus segera membuat laporan jika melihat sebarang masalah yang boleh membahayakan pengguna di taman permainan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Lee berkata terdapat keperluan mendesak untuk semua pihak berkuasa tempatan menjadi lebih proaktif dan mengamalkan budaya mencegah kemalangan bagi memastikan keselamatan taman permainan kanak-kanak di bawah bidang kuasa mereka.

Beliau mengimbau kemalangan ngeri pada 24 Nov lepas di mana seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terbunuh apabila kepalanya tersepit di buaian yang dikhaskan untuk pengguna kurang upaya dan mereka yang berkerusi roda di sebuah taman permainan di Kepong.

“Kita perlu sentiasa proaktif dan bukannya bersikap reaktif apabila berhadapan dengan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan atau kecederaan akibat kecuaian atau penyelenggaraan yang lemah.

“Walaupun taman permainan kanak-kanak sepatutnya menjadi tempat yang selamat, isu keselamatan menjadi kebimbangan utama apabila 530 kes kemalangan berkaitan dengan taman permainan dilaporkan antara 2014 dan 2016.

“Antara lain, dilaporkan bahawa kanak-kanak tercedera akibat peralatan permainan yang rosak atau jatuh akibat permukaan yang tidak rata”, jelas beliau lagi.

Tambah beliau, Biro Pengaduan Awam turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa tempatan menerima 11,231 aduan mengenai taman permainan antara 2015 dan 2016.

Beberapa pihak berkepentingan telah mencadangkan supaya Garis Panduan Standard Keselamatan Taman Permainan, yang diperkenalkan pada 2017, diwajibkan semasa merancang, merekabentuk, membina dan menguruskan taman permainan.

Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 juga perlu dipinda supaya keselamatan taman permainan dimasukkan sebagai kriteria tambahan bagi pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), katanya.