Pihak polis telah melakukan penutupan jalan di KM1.4 Lebuhraya Damansara Puchong menghala ke Lebuhraya Elite, Shah Alam bermula pukul 8 malam tadi.

Laluan ditutup sepenuhnya dan dilencongkan ke arah Putra Heights manakala laluan masuk dari Putra Heights ke laluan utama turut ditutup.

Tindakan ini diambil bagi sebagai langkah keselamatan ekoran rusuhan yang berlaku di sekitar kawasan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di sini.

Pada kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu, satu rusuhan tercetus antara dua kumpulan yang dipercayai melibatkan isu pemindahan tapak kuil berkenaan.

Akibat insiden itu, beberapa individu cedera parah, termasuk anggota keselamatan awam, dan beberapa kenderaan turut dibakar di sekitar kawasan.

Setakat ini, polis telah menahan 21 individu dan masih mengenal pasti dalang lain yang terbabit.