Minyak gamat amat sinonim dengan Pulau Langkawi, Kedah yang menjadi antara lokasi pelancongan utama di negara ini.

Produk itu bukan hanya dipasarkan dalam negara malah menembusi pasaran dunia, sekali gus boleh dikatakan bahawa ia antara produk tempatan yang menjadi kebanggaan Malaysia.

Namun, pendedahan dari Persatuan Koperasi Gamat Langkawi yang mendakwa wujud gamat tiruan atau palsu mungkin boleh mengubah tanggapan tersebut.

Menurut Pengerusi Persatuan Koperasi Gamat Langkawi, Mat Hazir Mahmud, lambakan minyak gamat tiruan telah lama berlaku pulau peranginan itu malah terus dipasarkan.

Dakwa Mat hazir, minyak kitar semula serta bahan lain seperti logam adalah antara yang terkandung dalam gamat tiruan berkenaan.

Perbezaan antara minyak gamat tiruan dan yang asli jelasnya, boleh dilihat pada kepekatan serta warna minyak tersebut.

"Selalunya kalau nak kata benda yang murah ni, mungkin pengusaha sudah buang (kandungan) gamat, (namun) hanya tulis gamat sahaja (pada label). Gamat sekarang satu kilogram berharga RM400 hingga RM700 macam itu.

"Persoalannya mampukah pengusaha itu meletakkan kandungan gamat yang tinggi untuk master formula yang memerlukan sekurang-kurangnya setengah kilogram.

"Itu sudah berharga RM300. Jika dia pasarkan dengan harga murah, boleh balik modal? Mungkin mereka buang gamat atau kurangkan herba lain," jelasnya.

Tambah Mat Hazir, minyak tiruan itu dakwanya dijual pada harga RM8 sedozen berbanding harga pasaran RM12.

Lebih mengejutkan, dakwanya, kegiatan menjual minyak gamat tiruan itu telah lama berjalan.

Namun ia tidak digembar-gembur kerana dikhuatiri memberi impak negatif terhadap pelancongan di pulau peranginan itu.

Pertemuan Astro AWANI dengan Mohd Noor Adam Mohd Saad, 30 tahun, seorang pengawal keselamatan dari Perlis mendedahkan pengalaman menggunakan minyak gamat disyaki tiruan.

Jelasnya, tiga kali menggunakan minyak terbabit di bahagian lukanya akibat kemalangan jalan raya, kulitnya terasa sengal dan melepuh seperti terkena minyak panas.

"Kejadian berlaku selepas saya menghadapi kemalangan di Perlis, kemalangan kereta. Selepas itu, saya rasa sakit, maka saya mai (datang) Langkawi.

"Saya cuba minyak gamat ini. Bila saya cuba produk tu, mula-mula okay. Lepas itu saya kirim dekat kawan saya produk baru ini, tetapi rasa macam lain, sakit bahu apa semua datang balik," kata Mohd Noor yang mula menggunakan minyak berkenaan kira-kira dua bulan lalu.

Seorang lagi penduduk kali ini dari Langkawi yang dikenali sebagai Raniza Ahmad, 44 tahun, turut berkongsi pengalamannya menggunakan minyak gamat dipercayai tiruan dari pengusaha yang sama.

Beliau berasa pelik apabila melihat ada keganjilan dari segi minyak dan bau yang lain dari kebiasaan.

"Sebab saya setiap kali keluar dari Langkawi, saya akan bawa minyak gamat sebagai buah tangan kepada saudara saya. Bila saya tengok rupanya macam tidak original. Malu juga hendak bagi dekat orang, risau pun ada juga bila orang pakai nanti takut nanti jadi apa-apa, gatal kulit dan bahayalah," jelas Raniza.

Beliau sendiri ada mencuba minyak berkenaan, ternyata dakwanya minyak terbabit yang disapu tidak meresap ke dalam kulit, sebaliknya minyak itu melekit dan berada di lapisan kulit luar sahaja.

Untuk rekod, ratusan pengusaha minyak gamat di Langkawi, namun daripada jumlah itu hanya kurang 10 pengusaha berdaftar.

Jika keadaan ini berlarutan tanpa kawalan, dikhuatiri ia mampu memberi imej negatif terhadap produk gamat sekali gus menjejaskan usaha kerajaan selama ini dalam membangunkan industri terbabit.

Lebih malang, punca pendapatan pengusaha gamat yang tulen dikhuatiri boleh terjejas.