Bekalan ikan kembung yang mudah diperoleh kini menjadi antara faktor peniaga menjualnya dengan harga murah.

Seperti yang tular di Sungai Petani mengenai ikan kembung atau ikan termenung yang dijual dengan harga 5 sen sehingga 30 sen seekor, Sinar Harian membuat tinjauan di pasar Jitra pada Khamis bagi melihat trend jualan ikan berkenaan di sini.

Hasil tinjauan mendapati, peniaga masih menjual pada harga biasa iaitu sekitar RM6 hingga RM7 sekilo.

Seorang peniaga, Mohd Rosdi Abd Rashid, 30, berkata, harga yang mereka tawarkan itu bergantung kepada saiz ikan.

“Yang sekilo RM7 tu besar sikit ikannya, sebelum ni pun saya pernah juga jual 20 sen seekor, tapi bila ada ikan kecik saja la.

“Kami jual kat pasar malam saja.. kalau kat market (pasar) macam ni, kami jual sama harga dengan kawan-kawan lain,” katanya ketika ditemui di pasar itu.

Seorang lagi peniaga, Rosli Saad, 48, berkata, kebanyakan pelanggannya tidak akan membeli ikan yang bersaiz terlalu kecil.

“Yang depa duk jual tiga kupang tu, semua ikan saiz kecik, kalau kat sini kami tak ambik... orang tak beli.

“Kira sekilo RM6 ni hat paling murah la, padan dengan saiz ikan dan ramai orang beli,” katanya.

Seorang pembeli, Azimah Omar, 68, berkata, harga ikan kembung pada kali ini antara yang murah berbanding sebelum ini yang pernah mencecah RM13 sekilo.

“Harga ikan sekarang ni berpatutan, tak murah sangat, tak mahal sangat.. saya selalu beli kat pasar Jitra ni la. Kadang pi juga pasar malam.

“Harga ikan di kedua-dua tempat ni pun tak banyak beza... lebih kurang saja,” katanya.