Tutup

Lambakan sisa plastik AS di Pelabuhan Klang - Laporan

Lambakan sisa plastik AS di Pelabuhan Klang - Laporan
Timbunan sisa plastik di sebuah kilang kitar semula di Jenjarom, Kuala Langat. REUTERS
KUALA LUMPUR: Siapa sangka, sisa plastik yang bertimbun di sebuah gudang yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor, datang dari 8,500 batu jauhnya?

Kebanyakan dari sisa plastik yang dijumpai setinggi paras pinggang itu dilaporkan berasal dari Amerika Syarikat (AS), menurut Los Angeles Times.  

Antara yang ditemui dalam lambakan itu, pelekat ‘Sacramento Municipal Utility District’ yang ditampal pada barangan plastik. 

Turut kelihatan di antara timbunan sisa plastik itu, sekumpulan pekerja wanita yang bertungkus-lumus meleraikan barangan plastik untuk dijual semula, semata-mata bagi mendapatkan gaji serendah RM40 sehari.
Sejak China melarang import ke atas bahan buangan sisa pepejal setahun yang lalu, kebanyakan peniaga sisa plastik ini berpaling ke negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Malaysia.

BACA: Cukup! Kami tidak mahu lagi sampah anda, China kini di era baharu
Menurut data kerajaan AS, Malaysia mengimport lebih 192,000 tan metrik sisa plastik pada 10 bulan pertama tahun lalu, sekali gus mencatat kenaikan sebanyak 132 peratus berbanding import tahun lepas.

“Malaysia telah menjadi tapak pembuangan sampah dunia,” kata Heng Kiah Chun, warga Malaysia yang menjalankan kempen bagi organisasi perlindungan alam sekitar, Greenpeace.

“Bagaimana Malaysia hendak mengurus sisa negara lain sedangkan kita selama ini sudah pun bersusah payah mengurus sisa domestik sendiri?” soalnya lagi.

Sebelum ini, Greenpeace telah menyarankan kerajaan agar mengambil tindakan keras terhadap kilang haram memproses sisa plastik, khususnya yang terletak di Jenjarom, Kuala Langat.

BACA: Malaysia sebagai 'tong sampah' dunia?

BACA: Caj levi bagi import sisa plastik dilaksana bulan depan - Zuraida

Pada September 2018, kerajaan mengumumkan bahawa caj levi bernilai RM15 akan dikenakan ke atas pengusaha yang memohon permit import (AP) bagi satu tan sisa plastik.

Bagaimanapun, kebanyakan sisa plastik sedia ada sebenarnya sukar untuk dikitar semula.

Keadaan ini akan terus kekal mencemari persekitaran negara ini.