Dewan Rakyat hari ini akan menentukan nasib Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Ahli Parlimen Pekan itu melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis.

Usul penggantungan tugas selama tiga bulan yang akan dibawakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tersenarai pada giliran pertama dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini.

“Pada hari Selasa, 9 April 2019, jam 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak, telah mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di akaun media sosial Facebook beliau ‘Najib Razak’.

“Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merupakan Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga jam 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019.

“Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Yang Berhormat Pekan di mana Yang Berhormat Pekan telah melanggar Embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Perbuatan Yang Berhormat Pekan jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan disifatkan telah melakukan suatu perbuatan menghina Majlis.

“Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Pekan hendaklah digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama 3 bulan,” memetik usul tersebut.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan telah memfailkan usul kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat susulan tindakan Najib itu.

Malah, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Najib itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen terutama sebagai bekas perdana menteri.