Tutup

Langgar embargo: Najib dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Langgar embargo: Najib dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
Najib telah mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di akaun media sosial FB beliau.: Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memutuskan untuk membawa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas bertindak mengeluarkan kenyataan melanggari embargo dokumen.

Keputusan itu dicapai selepas 86 ahli Parlimen bersetuju berbanding 33 yang menentang menerusi undian belah bahagian.

Usul tersebut dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan dibahaskan oleh lapan ahli Parlimen sebelum blok pembangkang membuat keputusan untuk undi belah bahagian dijalankan.
Memetik usul tersebut, pada Selasa lalu, Najib telah mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di akaun media sosial Facebook beliau. 

Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda merupakan Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga jam 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019.
Perbuatan beliau disifat melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan disifatkan telah melakukan suatu perbuatan menghina Majlis.

Ketika perbahasan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan dokumen tersebut telah dimuat naik dengan lebih awal di laman web Parlimen.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan telah memfailkan usul kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat susulan tindakan Najib itu.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Najib itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen terutama sebagai bekas Perdana Menteri.