Seorang duda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Ahad selepas didapati bersalah membunuh jiran sekampung.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh, Azami Mohamad, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman berkenaan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang pemandu lori didakwa telah membunuh Rohadi Zakaria yang berusia 49 tahun perbuatan itu dilakukan pada 2 Oktober 2014 kira-kira jam 6 petang di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu juga turut berdepan dua lagi pertuduhan
mengikut seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Mengikut pertuduhan kedua tertuduh telah melakukan cuba membunuh dengan cara melanggar Zakaria Taib, 48 tahun dengan menggunakan kereta jenis Proton Gen 2 sehingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6 petang di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu pada 2 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan ketiga pula tertuduh telah membuat laporan palsu di pejabat pertanyaan Balai Polis Permaisuri kira-kira jam 6.29 petang pada tarikh yang sama.

Menerusi laporan itu tertuduh mendakwa telah ditahan dua lelaki Melayu dengan menggunakan parang panjang ketika memandu pulang ke rumahnya tertuduh telah mengelak namun terlanggar kedua-dua lelaki tersebut.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap.

Pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Harshaan Zamani.