Tiga bot nelayan bersama 16 orang nelayan serta tekong warga Vietnam berusia antara 20 ke 44 tahun ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Zon Maritim Kudat, semalam (Khamis).

Ketiga-tiga bot ditahan di kedudukan sekitar 5 Batu Nautika dari Pulau Tigabu, Kudat.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot ronda Maritim Malaysia menahan kesemua bot terbabit selepas disyaki melanggar pelbagai jenis peraturan serta undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri.

Antaranya seperti tiada dokumen pengenalan diri yang sah, dokumen pasport tidak mempunyai rekod pergerakan keluar masuk dari Jabatan Imigresen Malaysia, melangkaui batas perairan, gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, tiada pelepasan pelabuhan (port clearance) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pelbagai kesalahan-kesalahan lain.

Beliau berkata: "Dua bot yang ditahan memiliki nombor pendaftaran yang sama dan disyaki merupakan bot klon. Ini merupakan kes keempat yang berjaya ditahan di Perairan Kudat menggunakan modus operandi yang sama.

"Bot yang diklon ini disyaki merupakan bot nelayan asing Vietnam yang cuba untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan serta mengibarkan bendera Malaysia."

Tambah beliau lagi, pihaknya mengesyaki ada sindiket tertentu yang bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah tersebut, oleh itu siasatan secara terperinci dan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan pelaku pelaku jenayah itu.

"Kita tidak akan berkompromi dengan perompak-perompak hasil laut negara.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM 1.7 juta. Kesemua bot dan nelayan ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 atas pelbagai kesalahan” jelas beliau.

“Pihak Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kemalangan yang berlaku di perairan negar," katanya lagi.