Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 individu kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melanggar SOP berkenaan.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan. Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Kerjasama dan disiplin diri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 62,656 pemeriksaan dilaksanakan bagi memantau dan menguatkuasa SOP PKPB di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,476 pasar raya, 5,187 restoran dan 1,474 kilang serta 3,100 bank telah diperiksa.

"Pemeriksaan juga telah dibuat di 1,210 terminal pengangkutan darat, 180 terminal pengangkutan air dan 71 terminal pengangkutan udara.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 25,807 buah kenderaan persendirian dan 2,541 kenderaan awam. Turut diperiksa adalah 2,015 pasar awam, 3,580 tempat ibadah, 1,498 tempat riadah dan 281 tapak binaan," jelas beliau.