Padah berkumpul kerana meraikan sambutan hari jadi semasa tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), 14 individu ditahan polis dalam kejadian di sebuah apartment di Jalan Harbour Place, Butterworth malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat Ops COVID-19, kira-kira jam 12.05 tengah malam tadi.

Kesemua mereka yang berusia antara 27 hingga 32 tahun masing-masing dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Norzainy berkata, siasatan mendapati seorang daripada mereka telah menyewa apartmen RM150 semalam untuk tujuan menyambut hari jadi sebelum dia memanggil rakannya yang tinggal di sekitar negeri ini untuk meraikannya.

Katanya, semasa serbuan di buat, persiapan sambutan hari lahir telah dilakukan cuma acara memotong kek belum sempat dibuat.

Ketika pemeriksaan dilakukan, tiada penjarakan sosial dilakukan dan mereka mengaku berkumpul kerana mahu menyambut hari jadi salah seorang rakan mereka.

Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.