Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dan pihak universiti dalam memastikan kebajikan para pelajar yang masih berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terjaga.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata ia bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan keresahan para pelajar berhubung proses pembelajaran dan pengajaran yang tergendala berikutan pelaksanaan PKP.

“Sebenarnya pihak kerajaan dan pentadbiran universiti telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan kebajikan fizikal dan mental pelajar terjaga.

Selain itu, kerajaan juga telah mengambil pendekatan terbaik bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan meskipun ketika penularan wabak COVID-19 berlaku dan selepas wabak ini berakhir,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Berikut adalah langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan pihak universiti:

1. Pelajar yang masih berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar dari kampus sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan. Hal ini bagi mengurangkan risiko pelajar mendapat kontak daripada individu yang dijangkiti virus COVID-19. Pelajar-pelajar ini hanya akan dibenarkan pulang secara beransur-ansur selepas PKP ditamatkan.

2. Kerajaan telah bersetuju untuk menanggung makanan dan minuman pelajar yang masih berada dalam kampus sepanjang PKP ini berlangsung.

Kaedah agihan makanan dan minuman ini adalah tertakluk kepada pihak universiti. Ada yang memberi makanan yang sudah siap dimasak, ada juga yang menggunakan kaedah lain. Sebagai contoh, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengedarkan kupon kepada pelajar untuk membeli makanan di kafe-kafe dalam kampus USM.

3. Untuk pelajar yang tinggal di luar kampus dan masih belum pulang ke kampung halaman, pihak universiti juga sentiasa berhubung dengan mereka untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka.

4. Pihak universiti juga telah menyediakan khidmat kaunseling khas kepada pelajar. Hal ini bagi memastikan pelajar kekal tenang ketika PKP masih berlangsung.

5. Kerajaan juga telah mengumumkan bantuan secara one-off sebanyak RM200 kepada pelajar IPT melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Peruntukan ini berjumlah RM270 Juta dan akan disalurkan kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

6. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga telah mengeluarkan saranan kepada pihak universiti berhubung pengendalian program akademik di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Semua UA dan IPTS disarankan agar menyambung semester kedua seawal 27 April 2020 atau selewat-lewatnya 1 Jun 2020.

7. Dengan lanjutan semester ini juga, semester pertama sesi 2020/2021 juga akan ditunda dan dijangka akan bermula pada pertengahan oktober 2020.

8. Untuk mengurangkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai, kerajaan telah menyarankan universiti untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah lain terutamanya secara atas talian.

Pihak universiti difahamkan sedang dalam proses untuk memastikan pengajaran pembelajaran secara atas talian dapat dilakukan dengan sebaiknya.

9. Pihak universiti juga sedang bertungkus-lumus dan akan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pelajar yang hanya mempunyai akses internet yang terhad atau tidak mendapat akses internet langsung di rumah juga boleh menyertai sesi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.

10. Dalam perkembangan terbaru, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan cadangan untuk menangguhkan pengajian atau mengurangkan yuran pengajian di IPTA. Usul ini akan dibawa dan dibincangkan di peringkat KPT.

11. Bagi memastikan perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran ini tidak melanggar piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pihak MQA juga telah mengeluarkan garis panduan yang sesuai berhubung dengan pengendalian program pendidikan tinggi semasa dan pasca PKP COVID-19. Hal ini bagi memastikan kualiti pelajar tidak terjejas.