Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, sikap sesetengah negara maju yang menghantar sisa buangan ke negara yang sedang membangun dan miskin merupakan sesuatu sangat tidak adil.

Beliau berkata, Malaysia akan menghadapi masalah untuk menguruskan sisa buangan terutamanya plastik dalam kuantiti yang sangat besar kerana pembakaran secara terbuka akan menyebabkan pencemaran udara yang teruk.

Menurut beliau, adalah lebih baik sekiranya negara-negara maju itu membantu negara seperti Malaysia dalam membangunkan teknologi menguruskan sisa buangan berkenaan, daripada mengambil langkah drastik menghantarnya ke negara ini.

“Kami tidak boleh menerima idea bagaimana negara yang kaya menghantar sampah ke negara yang miskin. Kami sendiri sedang pening memikirkan bagaimana mahu menguruskan sampah kami, apatah lagi jika sampah itu merupakan plastik, yang tidak mudah melalui proses biodegradasi.

“Lebih baik anda membantu kami dengan cara membangunkan teknologi yang lebih berkesan, daripada terus mencemarkan negara kami,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kelab Pengamal Media Antarabangsa Jepun di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, sebanyak 450 tan metrik sisa sampah dari 10 kontena akan dihantar semula dalam masa terdekat ke negara asal masing-masing.

Di samping itu, Yeo berkata, Kabinet pada 24 April lalu juga telah memberi mandat kepada kementeriannya untuk menubuhkan pasukan khas yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi membolehkan siasatan terhadap kegiatan penyeludupan sisa plastik ke Malaysia.

Tindakan tegas itu bukan sahaja mendapat reaksi positif dari rakyat Malaysia bahkan juga mendapat liputan meluas dari pelbagai media antarabangsa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini sedang mengambil langkah susulan dalam usaha mengawal pembuangan sampah plastik di kalangan rakyat sendiri termasuk mengharamkan penggunaan plastik dan penyedut air di beberapa tempat.

Atas sebab itu, beliau berharap agar tindakan negara maju menjadikan negara membangun dan miskin sebagai tempat pembuangan sampah harus dihentikan dengan segera.

“Anda harus ingat, jika anda mencemarkan satu tempat di dunia ini, anda juga akan mencemarkan tempat lain di dunia ini,” katanya lagi.