Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Langkah pasca COVID-19: Sampai bila rakyat harus berjalan kaki di Tambak Johor?

Langkah pasca COVID-19: Sampai bila rakyat harus berjalan kaki di Tambak Johor?
Sudah tiba masanya kerajaan pada hari ini untuk menjalankan amanah yang telah diberikan kepada rakyat dan menyanjung hasrat YDPA. - Gambar fail
WABAK COVID-19 telah memporak-perandakan banyak negara di dunia, tak terkecuali rantau Asia Tenggara. Pada bulan Mac 2020, Malaysia pernah berada di tempat pertama sebagai negara paling banyak jangkitan di Asia Tenggara. Menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jangkitan sudah berjaya dikawal di Malaysia dan pada pertengahan April, Singapura mengambil alih tempat pertama sebagai negara paling dijangkiti COVID-19 di Asia Tenggara.

Singapura kemudian mengikuti jejak langkah Malaysia bagi menutup pintu sempadannya dengan menguatkuasakan ‘Pemecah Litar’ pada 7 April 2020. Banyak aktiviti ekonomi terpaksa ditutup di Singapura menyebabkan sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di sana tidak ada pilihan lain melainkan untuk pulang ke tanahair, sehinggakan ada yang terpaksa jalan kaki di atas Tambak Johor untuk kembali.
Sejak Malaysia merdeka, tahap kemudahan pengangkutan awam telah dinaiktarafkan terutamanya di Lembah Klang dengan sistem rel bersepadu dan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) telahpun di majukan dari Pulau Sebang, Melaka sehingga ke Padang Besar, Perlis. Kerajaan juga sedang merancang untuk membangunkan Keretapi Pantai Timur (ECRL) serta Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang telah ditangguhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang runtuh tak lama dulu.

Namun, Tambak Johor, yang menjadi nadi penghubung Malaysia-Singapura belum lagi dinaiktaraf setanding dengan kemudahan yang ada di Lembah Klang. Seharusnya, perkhidmatan pengangkutan awam di Tambak Johor sudah lama dimodenkan kerana ianya adalah anggapan pertama kepada negara bagi pelancong-pelancong yang berkunjung ke Malaysia (Johor Bahru) dari Singapura.
Projek yang pernah direncanakan untuk dibina di Tambak Johor adalah projek Jambatan Bengkok yang berita terakhir mengenainya dilaporkan pada tahun 2018 dahulu. Pembinaan Tambak Johor yang telah menutup sepenuhnya Selat Johor sebagai jalan maritim penghubung Timur dan Barat dikatakan boleh diperbetulkan dengan menggantikannya dengan Jambatan Bengkok Selat Johor yang disarankan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 1996 lagi.

Jambatan ini, sekiranya siap, bakal menjadi jambatan ikonik berbentuk ‘S’ yang mampu mengubah garis langit Bandaraya Johor Bahru untuk menjadi lebih unik, disamping mengurangkan kesesakan jalan raya, membolehkan kapal kecil belayar di bawahnya serta boleh mengurangkan pencemaran kerana membolehkan air laut yang bertakung di Selat Johor untuk mengalir secara bebas.

Sekiranya benar Selat Johor boleh dibuka untuk pelayaran, adakah ianya boleh menjadikan kedua-dua pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas pelabuhan-pelabuhan yang boleh mengungguli Pelabuhan Singapura? Kerja-kerja penambakan tanah yang sedang giat dilakukan dekat Pulau Tekong dan Changi di Singapura serta di Johor Bahru di Malaysia sedikit sebanyak menyebabkan selat ini bertambah cetek dan seterusnya tidak boleh menyaingi kehebatan Selat Singapura bagi tujuan pelayaran antarabangsa.

Persoalan utama, adakah jambatan bengkok ini satu keperluan ataupun kerajaan sepatutnya memfokuskan ke arah menaiktaraf mobiliti di antara Woodlands dan Johor Bahru bagi memudahkan pergerakan warganegara kita yang bekerja di sana serta mengalakkan lebih ramai pelancong dari Singapura untuk datang berkunjung ke Johor Bahru?

Oleh itu, kerajaan sepatutnya mempercepat dan memperkasa projek pembinaan sistem transit yang kerap tertangguh iaitu Sistem Transit Massa Johor Bahru-Singapura (RTS) sepanjang 4.2km menghubungkan dua stesen iaitu Woodlands North di Singapura dan Bukit Chagar di Malaysia. Projek yang dikatakan boleh mengangkut 10, 000 penumpang per jam ini telah beberapa kali tertangguh dan penangguhan yang terakhir berlaku pada 2 Mei 2020 akibat pandemik COVID-19. Projek ini dijadualkan untuk bergerak semula pada 31 Julai 2020.

Memang benar COVID-19 telah menghambat ekonomi dunia dan menyebabkan jumlah pelancong ke Malaysia merudum. Akan tetapi, ekonomi negara dan dunia juga dijangka meningkat setelah pandemik ini berakhir.

Kerajaan patut memfokuskan kepada pembangunan infrarakyat yang boleh memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Singapura berhasil menjadi negara maju kerana memiliki sistem pengangkutan awam yang canggih.

Sejak 2018, rakyat Malaysia dimomokkan dengan hutang negara yang menggunung sehingga rakyat diseru untuk berjimat cermat serta banyak projek pembangunan infrarakyat seperti ECRL, HSR dan MRT 3 Lembah Klang terpaksa ditangguh atau dibatalkan. Namun, anehnya projek-projek seperti kereta terbang dan kereta nasional ketiga boleh pula diteruskan.

Akhirnya, pada 27 Februari 2020, Tun Dr. Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Interim mengakui bahawa negara memiliki simpanan sebanyak RM2 trillion – bukanlah hutang menggunung seperti yang diuar-uarkan. Laporan mengenai wang simpanan negara ini telah dilaporkan di dalam akhbar The Edge Markets.

Berbeza dengan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa ekonomi Malaysia dibelenggu hutang, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia Bagi Malaysia, Dr. Richard Record memaklumkan bahawa Malaysia ada kelebihan ekonomi untuk mendepani krisis COVID-19, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 14 April 2020. Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia tidak seburuk seperti yang digambarkan pentadbiran yang lalu.

Sudah tiba masanya kerajaan pada hari ini untuk menjalankan amanah yang telah diberikan kepada rakyat dan menyanjung hasrat Yang Dipertuan Agong (YDPA) untuk berhenti mengheret negara ke kancah politik yang tidak berkesudahan dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dalam memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Penyeberangan rakyat Malaysia di Tambak Johor, ada di antara mereka terpaksa jalan kaki untuk pulang ke Tanah Air sewaktu PKP adalah manifestasi bahawa kemudahan infrarakyat belum lagi menyeluruh ke seluruh negara. Sudah tiba masanya kerajaan meletakkan keutamaan dalam membangunkan projek-projek infrarakyat yang benar-benar dapat dimanfaatkan semua.

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai ekonomi paling kompetitif di dunia. Sampai bila kita harus membiarkan rakyat kita berjalan kaki di Tambak Johor?



* Penulis ialah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan leftenan komander pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.