'Rakyat Malaysia perlu membiasakan diri dengan cara kehidupan yang baharu'.

Demikian komen Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing susulan pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Menerusi pengumuman tersebut, Muhyiddin mengumumkan bahawa tempoh lanjutan tersebut berkuatkuasa 15 April sehingga 28 April 2020.

“Perdana Menteri tiada pilihan lain ketika ini selain melanjutkan PKP bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini.

“Untuk itu rakyat Malaysia perlu mencari inisiatif lain dalam menjalankan perniagaan serta kehidupan sosial,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

Ujarnya lagi, rakyat Malaysia perlu terus mengelakkan perhimpunan-perhimpunan besar di masjid, gereja dan rumah-rumah ibadat lain pada ketika ini.

“Kita hanya boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa apabila keadaan ancaman COVID-19 selesai sepenuhnya.

“Ini kerana virus ini tidak mengenal darjat, agama serta bangsa seseorang individu itu, jadi kita perlu bersatu dalam menangani COVID-19 ini,” tambah James.