Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Lantik PM baharu, Agong zahirkan nilai-nilai kepimpinan Melayu dalam Institusi Diraja

Lantik PM baharu, Agong zahirkan nilai-nilai kepimpinan Melayu dalam Institusi Diraja
Shamsul berkata, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini adalah bagi memastikan tidak berlaku huru-hara dalam kalangan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah disifatkan mempunyai nilai hemah dalam membuat keputusan selepas menitahkan seramai 221 Ahli Parlimen untuk memaklumkan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpandangan, Al-Sultan Abdullah secara jelas telah menzahirkan nilai-nilai kepimpinan Melayu yang didokong oleh Institusi Diraja.
“Jadi, ketika ini nilai-nilai ini terserlah dan kita lihat ia dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukannya rakus. Kalau kita lihat ahli politik (segelintir bersifat) rakus sahaja dan semua nak cepat.

“Bagaimanapun, Agong telah berjaya memberitahu bahawa (keputusan memilih Perdana Menteri) ada adab dan protokol,” katanya pada program Buletin Khas AWANI, pada Selasa.
 
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini adalah bagi memastikan tidak berlaku huru-hara dalam kalangan rakyat.

“Jadi ini konteks dan konsepnya yang sedang diamalkan yang memberikan rakyat ketenangan kerana saya (Al-Sultan Abdullah) sekarang ini adalah Raja kepada rakyat dan sekarang ini (baginda) buat sesuatu untuk rakyat,” ujarnya.

BACA: Semua Ahli Parlimen kecuali Tun M dititah menghadap Agong hari ini dan esok

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan kesemua 221 Ahli Parlimen kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadap baginda bermula hari ini dan esok.

Kesemua Ahli Parlimen akan dibahagikan kepada dua sesi temubual dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sehingga Perdana Menteri dan Kabinet baharu dibentuk.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, selain mengumumkan mengundur diri sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).


Tag: Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Perdana Menteri, kabinet, Melayu, Adat istiadat Melayu, Perdana Menteri interim, Pakatan Harapan, Malaysia 2020, Agong Kita



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.