Tutup

Lantikan Latheefa, realiti sebenar kelemahan urus tadbir - Bersih 2.0

Lantikan Latheefa, realiti sebenar kelemahan urus tadbir - Bersih 2.0
Bersih 2.0 dalam satu kenyataan, mengalu-alukan pelantikan Latheefa, namun mempersoal proses pelantikannya. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggambarkan realiti sebenar kelemahan urus tadbir kerajaan berkenaan penyalahgunaan kuasa yang tidak dapat dielakkan.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan, mengalu-alukan pelantikan Latheefa, namun mempersoal proses pelantikannya susulan pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ia dibuat sendiri tanpa berbincang dengan kabinet.
"Walaupun undang-undang semasa membenarkan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik sesiapa yang diinginkannya, kuasa yang hampir mutlak di tangan Perdana Menteri ini juga tidak sesuai dengan sistem demokrasi Parlimen kita," kata Bersih 2.0 dalam kenyataan media yang diedarkan pada Khamis.

Malah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menggunakan kuasa sama dengan melantik sekutu-sekutunya menyandang jawatan penting dalam usahanya untuk melarikan diri dari siasatan skandal 1MDB dan yang berkait dengan kuasanya.
Justeru, Bersih 2.0 menggesa kerajaan untuk melaksana dan mewartakan peruntukan kebebasan institusi-institusi ini sebagai undang-undang tanpa ditangguhkan lagi.

"Jika Dewan Rakyat memerlukan sokongan dua pertiga untuk membuat pindaan tersebut, kami menggesa pihak pembangkang untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi bagi menyokong supaya semak dan imbang institusi ini dapat dilaksanakan," memetik kenyataan itu lagi.

Dalam sidang media semalam, Dr Mahathir mengaku bahawa beliau tidak memaklumkan kepada kabinet berhubung pelantikan Latheefa.

Latheefa menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM wanita pertama di negara ini berkuat kuasa 1 Jun lalu, selama dua tahun.

Pengumuman itu dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan media pada Selasa lalu.


Tag: Najib Razak, Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, SPRM, 1MDB, Bersih, undang-undang, Latheefa Koya



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.