Laos mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk meninjau dan merebut peluang dalam pelbagai sektor ekonomi negara tersebut, kata Duta Laos ke Malaysia Houmdaophone Soukhaseum.

Beliau berkata negara itu bersedia kepada banyak platform koperasi yang berpotensi, terutamanya pelancongan, pertanian, pendidikan, infrastruktur tenaga, perkhidmatan profesional dan pelaburan teknologi kewangan (fintech).

"Kerajaan Laos berbesar hati untuk memudahkan sebarang inisiatif yang dicadangkan oleh Malaysia menerusi badan-badan yang diiktiraf," katanya kepada Bernama selepas pelancaran rasmi Majlis Perniagaan Malaysia Laos (MLBC) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini pada Rabu.

Sebuah majlis akan turut diadakan di Vientiane dari 12 hingga 14 Nov sempena penubuhan platform baharu dan pelan tindakan kerjasama antara Malaysia dan Laos.

MLBC ditubuhkan sebagai organisasi swasta bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada anggotanya berkaitan perniagaan di Malaysia dan Laos.

"Kami mengesahkan MLBC akan terus mempromosikan inisiatif pertukaran perniagaan antarabangsa secara bersama ke atau dari Laos untuk disebarkan secara meluas melalui rangkaiannya dan rakan strategik kerajaan ke seluruh dunia melalui Malaysia," katanya.

Beliau berkata pengagihan kekayaan yang lebih saksama demi kepentingan seluruh ekonomi serantau dan akan menyokong resolusi yang membantu pertumbuhan negara-negara membangun.

-- BERNAMA