Lapan butir bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di sekitar kawasan Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John, di sini, pada Jumaat.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Nordin Abdullah, penemuan sekitar jam 2.45 petang itu dimaklumkan oleh penyelia sebuah syarikat kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan tersebut.

Katanya, pada mulanya kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan syarikat itu hanya menemui empat objek besi menyerupai bom lama.

Unit Persenjataan dan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang bergegas ke lokasi telah mengenalpasti objek itu sebagai bom lama.

"Anggota UPB kemudiannya menjalankan kerja-kerja pengorekan tanah di sekitar kawasan itu dan berjaya menemukan empat lagi bom lama, menjadikan jumlah keseluruhan lapan butir bom.

"Menerusi penemuan ini, kita syaki kawasan ini pernah dijadikan tempat penyimpanan milik tentera Jepun ketika perang dunia lalu," kata Mohamad Nordin.

Jelasnya, kesemua bom itu kemudiannya diletupkan di sebuah kawasan kuari di Lahat.

Kawasan penemuan itu telah disahkan selamat dan orang ramai tidak perlu khuatir sekiranya perlu melalui kawasan tersebut, tambahnya.