Tutup

Lapan garis panduan dicadang pastikan Gojek lebih selamat - MSOSH

Lapan garis panduan dicadang pastikan Gojek lebih selamat - MSOSH
Pastikan perlindungan diberi secukupnya kepada para penunggang Gojek.
KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mencadangkan lapan garis panduan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa sebelum membenarkan perkhidmatan e-hailing Gojek beroperasi dalam negara.

Presiden MSOSH Khairuddin Hairan berkata ini bagi memastikan perkhidmatan Gojek dapat memberi perlindungan secukupnya kepada para penunggang Gojek memandangkan tempat kerja mereka iaitu di atas jalanraya' merupakan tempat berisiko tinggi.
"Antara garis panduannya adalah pembawa Gojek wajib mempunyai lesen menunggang motor yang sah, sihat tubuh badan dan tidak mempunyai kompilasi penyakit serta menghadiri latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti Latihan 'Safe Defensive Riding'," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Turut dicadangkan, pembawa Gojek perlu mempunyai perlindungan insurans diri, berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), mempunyai identiti pengenalan diri seperti uniform dan tag nama bagi memastikan perkhidmatan ini tidak di salahgunakan serta kenderaan Gojek ditetapkan piawaian khusus untuk had laju pengoperasian.
"Perkhidmatan Gojek juga dicadangkan mempunyai sistem penarafan yang berkesan seperti perkhidmatan e-hailing Grab terhadap penunggang yang merangkumi sikap selamat dan pematuhan terhadap undang-undang ketika menunggang," katanya.

MSOSH turut mencadangkan penglibatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan persatuan-persatuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia dalam kajian perlaksanaan Gojek bagi membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan membuat keputusan yang tepat dalam perkara ini.

Jelas Khairuddin, cadangan itu harus dipertimbangkan memandangkan sebarang pengabaian mengenai aspek keselamatan dan kesihatan berkemungkinan menambah lagi statistik kemalangan maut, kecederaan mahupun kemorosotan tahap kesihatan hingga menyebabkan kehilangan keupayaan untuk bekerja di kalangan anak-anak muda ini.

"Golongan ini sangat berisiko kerana lebih 70 peratus maut di Malaysia melibatkan penunggang motosikal. Justeru, pembangunan garis panduan ini merupakan salah satu usaha membantu menangani masalah ini.

"MSOSH sentiasa menyokong sebarang inisiatif kerajaan bagi meningkatkan tahap dan taraf sosio-ekonomi rakyat dan negara terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di negara ini namun mestilah mengambil kira segala aspek terutama perihal keselamatan dan kesihatan yang membabitkan para pekerja atau penunggang Gojek ini," katanya.

-- BERNAMA


Tag: MSOSH, Kuala Lumpur, Gojek, kemalangan, presiden, undang-undang, sukan, keselamatan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.