Sebanyak lapan kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan bermula semalam, hari ini dan esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, enam daripadanya telahpun ditamatkan semalam melibatkan kawasan Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India.

Selain itu, katanya, kawasan PKPD di Selayang Baru membabitkan Parcel A dan B juga ditamatkan semalam.

"PKPD Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta Pasar Borong Kuala Lumpur pula akan tamat pada hari ini.

"Bagaimanapun PKPD melibatkan Parcel lain dalam kawasan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan Selayang Baru akan dilanjutkan sehingga 12 Mei depan," katanya dalam sidang media harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memfokuskan kepada penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Sebahagian sektor ekonomi dibenarkan untuk memulakan operasi bermula hari ini dibawah PKPB dan penguatkuasaan adalah memfokuskan kepada aspek pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya lagi.