Sebanyak lapan buah premis perniagaan di Kea Farm hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Kg Raja-Brinchang di sini pada awal pagi Jumaat.

Kejadian yang berlaku di kawasan tumpuan ramai sekitar jam 12 tengah malam itu turut melibatkan kedai-kedai cenderamata dan sayuran serta sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A. Hamid berkata bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni berada di dalam bangunan kayu itu sewaktu kejadian.

"Kami menerima panggilan sekitar 12.55 pagi Jumaat mengenai kebakaran daripada orang awam dan kami telah menghubungi pihak bomba dan mereka tiba sekitar 1.10 pagi untuk operasi pemadaman.

"Siasatan lanjut mendapati kedai-kedai yang terlibat dalam deretan kedai Kea Farm itu antaranya menjual sayur, pakaian, cenderahati dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihaknya telah mengerahkan tujuh pegawai dan anggota bomba ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada pihak Malaysian Emergency Response System (MERS).

Jelasnya, mereka menggunakan pelbagai jentera termasuk jentera air, kenderaan pacuan empat roda dan unit Fire Rescue Tender (FRT) untuk operasi pemadaman kebakaran tersebut.

"Mujur tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pasukan kami mengambil lebih daripada tiga jam untuk mengawal kebakaran dan mengelakkan api daripada merebak.

"Buat masa ini, kerugian insiden berkenaan dianggarkan mencecah RM500,000 dan kerja-kerja siasatan mengenai punca kebakaran masih dilakukan dan akan berjalan selama 14 hari," katanya.

Muhamad Haziq berkata berikutan tindakan pantas daripada pihak bomba, sebanyak 40 buah kedai lain yang berada dalam kawasan perniagaan Kea Farm itu telah berjaya diselamatkan.