Lapan kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,257 kes.

Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 183 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara Malaysia dan dua orang bukan warganegara.

"Tiga kes import tersebut adalah dari negara Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Belanda (1 kes di Sarawak) dan Filipina (1 kes di Sabah)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA : Kes baharu kekal satu digit: Ini lima tumpuan kenyataan media COVID-19

Lima kes lagi adalah penularan dalam negara melibatkan warganegara malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah.

"Justeru, Kluster Tawar setakat ini mencatatkan 63 kes positif COVID-19. Sehingga 22 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini,"tambah beliau.

Pecahan saringan mengikut negeri bagi Kluster Tawar iaitu di Kedah (2,414 disaring) di mana 52 kes dikesan positif COVID-19, 2,227 individu negatif dan 135 individu masih menunggu keputusan.

Manakala, di Pulau Pinang (517 disaring), iaitu 11 kes dikesan positif COVID-19, 443 individu negatif dan 63 individu masih menunggu keputusan.

Di Perak pula, kesemua 11 saringan adalah negatif. Tiada saringan baharu.

Justeru, pengesanan kes dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan serta situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak
125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Sehingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.