Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan kesemua lapan suspek kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital negeri itu sebelum ini dijangkiti difteria.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kes tersebut termasuk seorang kanak-kanak lelaki dua tahun yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ujar Dr Norhizan, daripada jumlah itu, seorang bayi 10 bulan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) masih dalam keadaan kritikal manakala lima lagi beradiknya pula dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Beliau berkata kesemua tujuh beradik dari Kuala Muda itu dimasukkan ke HSAH pada Selasa kerana disyaki dijangkiti difteria.

Pemeriksaan mendapati empat daripada mereka yang berusia 10 bulan, dua tahun, tiga tahun dan empat tahun tidak diberi suntikan vaksin pelalian difteria menyebabkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu meninggal dunia kerana penyakit itu.

Selain itu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dari Langkawi telah dipindahkan ke wad biasa dan berada dalam keadaan stabil selepas diberi rawatan, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya lagi, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda telah menjalankan 77 pengesanan kontak kes difteria iaitu sembilan daripada kalangan anggota keluarga dan lima anggota klinik swasta yang merawat pesakit sebelum dirujuk ke HSAH.

"Sebanyak 75 kontak telah diberi rawatan profilaksis dan kad amaran kesihatan untuk memudahkan komunikasi proses rawatan, dua kontak dirujuk sebagai pesakit luar di HSAH kerana demam dan sakit tekak," katanya.

Selain itu, pengesanan kontak itu juga melibatkan 38 murid dan 24 guru serta kakitangan sekolah dan seorang yang terlibat dalam pengurusan jenazah kanak-kanak yang meninggal dunia itu.