Polis memburu lapan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja lelaki maut akibat dipukul selepas terlibat dalam kemalangan di Bulatan Sungai Buloh awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata mangsa R. Devar, 18, bersama tiga rakannya yang menaiki dua motosikal secara tiba-tiba dilanggar sebuah kereta di bulatan itu menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 3 pagi.

"Pemandu itu dipercayai keluar dari keretanya bersama beberapa individu yang bertindak memukul Devar dan rakan-rakannya yang dalam perjalanan pulang dari kuil.

"Ketiga-tiga rakan Devar yang berusia 19 hingga 20 tahun kemudian melarikan diri meninggalkannya seorang diri di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Isnin.

Mohd Zani berkata Devar yang tidak bekerja dan berasal dari Kampung Lindungan cedera di kepala, kaki dan tangan, dihantar ke Pusat Perubatan Subang Jaya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 4 pagi.

Beliau berkata tiga rakan mangsa turut mengalami kecederaan di tangan dan kaki akibat dipukul suspek dan dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Susulan itu, katanya polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 27 tahun di Petaling Jaya dan Sungai Buloh pada pukul 3 hingga 6 petang tadi berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.