Sekumpulan lapan pendaki terdiri daripada lima wanita dan tiga lelaki terkandas ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Irau, Cameron Highlands, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu berlaku apabila ada dalam kalangan anggota kumpulan itu mengalami kecederaan menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk mencari jalan keluar berikutan keadaan semakin gelap.

"Ekoran itu satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.55 petang.

"Ia disertai empat pegawai dan lapan anggota dan dilaporkan telah sampai pada jam 9.17 malam tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Anggota Bomba giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Cameron Highlands. - Bomba/Sinar Harian


Menurutnya kesemua mereka kini dalam perjalanan turun dan bagaimanapun maklumat berkenaan keadaan mangsa masih belum diperolehi berikutan masalah komunikasi.

Gunung Irau merupakan puncak tertinggi di Cameron Highlands dengan ketinggian 2,110 meter dan suhui boleh mencecah antara 13 hingga 17 darjah Celcius.

-- BERNAMA