Lapan buah rumah kampung termasuk sebuah bengkel kenderaan musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran berhampiran kawasan Taman Cemerlang, Jelutong, Pulau Pinang pada Khamis.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.44 pagi itu, namun seorang anggota bomba yang sedang memadam kebakaran dan seorang lelaki yang berada berhampiran lokasi kejadian mengalami sesak nafas selepas terhidu asap tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A'azelan Hassan memaklumkan pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian bersama dua buah jentera untuk melakukan kerja memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan.

Menurutnya, api sedang marak ketika jentera pertama tiba di lokasi kejadian dan empat buah rumah yang terletak bersebelahan didapati hangus terbakar.

Bengkel kereta dan beberapa buah rumah berhampiran turut disambar api.

A'azelan berkata pihak bomba berdepan kesukaran untuk masuk ke lokasi kebakaran berikutan jalan di kawasan kampung terlalu sempit dan terpaksa meletakkan jentera bomba kira-kira 500 meter dari kawasan kejadian.

Malah, katanya struktur rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan terletak berhampiran antara satu sama lain menyebabkan api cepat merebak.

Salah seorang anggota bomba yang sedang memadam kebakaran terpaksa dipapah kerana mengalami sesak nafas. - Foto JBPM

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang anggota bomba dan penduduk mengalami sesak nafas dan mereka diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya lebih 100 pegawai dan anggota bomba bersama lima jentera termasuk dari Balai Bomba Paya Terubong dan Lebuh Pantai di bantu Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran yang mengambil masa kira-kira dua jam itu.

Setakat ini punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.