Seorang pelajar kolej swasta warganegara Nigeria dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini atas tuduhan mengedar dadah pada Mei 2012.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 April 2019 dalam membebas dan melepaskan tertuduh, Luke Nnaemeka Ugwu, 34 tahun daripada pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah wajar.

Panel lima hakim itu dianggotai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof.

Itu sekali gus, Mahkamah Persekutuan mendapati tidak ada sebab untuk menukar keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, sementara tertuduh diwakili peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Aiman Ariff Abdul Azij.

Pada 20 Mac 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung terhadap Luke Nnaemeka atas dakwaan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 725.4 gram di dalam bagasinya semasa pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 1 April 2019, Mahkamah Rayuan mendapati Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan pembelaan perayu bahawa dia merupakan seorang pembawa polos (tidak berniat jahat) atau ‘innocent carrier’ yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan bungkusan-bungkusan mengandungi dadah berbahaya yang telah disorokkan di bahagian rahsia di dalam bagasi yang telah diberikan kepada perayu oleh rakannya semasa berada di Lagos, Nigeria.