Laporan hasil prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin tidak dapat dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata ia disebabkan keperluan untuk memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh untuk prosiding pendengaran.

"PAC akan terus meneliti secara terperinci berhubung perkara ini dan tidak akan sesekali terpengaruh dengan mana-mana laporan media sosial dalam dan luar negara.

"Nampaknya prosiding akan diteruskan. Saya bimbang kita tidak boleh menyelesaikannya pada bulan Mac.

"Kita cubalah sedaya upaya untuk menyelesaikan laporan kita di Parlimen pada Mac, kalau ada perkara lain," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan prosiding pendengaran PAC terhadap Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin di Parlimen di sini hari ini.

Pada Selasa, PAC dilaporkan hanya akan memanggil bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh sekiranya tidak berpuas hati dengan kenyataan Lodin.

Terdahulu, Lodin mengakui soalan yang ditanya PAC agak berat namun boleh menjawabnya.

"Saya rasa prosiding ini sudah hampir ke penamatnya selepas sekian lama ia cuba diselesaikan. Usaha sudah dibuat untuk menyelesaikan isu 1MDB," ujarnya.

Sebelum ini, PAC telah selesai mengadakan prosiding pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB membabitkan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dengan memanggilnya dua kali.

Prosiding sebelum ini berlangsung selama kira-kira tiga jam di mana Arul Kanda menerangkan mengenai pelan rasionalisasi 1MDB.

Kali terakhir Arul Kanda dipanggil memberi keterangan kepada PAC pada 18 Disember lalu.