Laporan akhir siasatan teknikal insiden pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 akan dikemukakan awal Oktober depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan di peringkat ini, Lembaga Siasatan Belanda, DSB dalam proses untuk memuktamadkan draf akhir laporan.

Menurut Najib lagi, draf laporan akhir siasatan dan kemalangan mengenai laluan penerbangan sudah diedar kepada wakil bertauliah.

Ia akan diteliti mengikut peruntukan Lampiran 13, Pertubuhan Penerbangan Antarabangsa, ICAO dalam tempoh 60 hari.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peringatan Khas sempena setahun tragedi MH17.


Najib juga menyarankan kerajaan negara lain memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha Malaysia mengemukakan usul resolusi ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, PBB, bagi menuntut penubuhan Tribunal MH17 bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ini bagi memastikan bukti yang dikemukakan bagi menghukum mereka tidak boleh dipertikai.