Laporan analisis manfaat kos TPPA buktikan liberalisasi bagus untuk rakyat - IDEAS

Laporan analisis manfaat kos TPPA buktikan liberalisasi bagus untuk rakyat - IDEAS
WAN SAIFUL: Pihak kerajaan tidak menjalankan usaha yang baik dalam menjelaskan soal TPPA.
KUALA LUMPUR: Keputusan analisis manfaat kos penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijalankan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC) membuktikan bahawa liberalisasi adalah bagus untuk rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan berkata, hasil kajian itu menyamai pandangan yang selama ini diyakini organisasinya.

Wan Saiful juga berkata, hasil kajian itu membolehkan ahli Parlimen, pembuat dasar dan masyarakat sivil mendapatkan jawapan tentang perkara tersebut seterusnya membuat keputusan yang betul.

“Membuat keputusan yang tepat tentang penyertaan Malaysia dalam TPPA memerlukan pendekatan sistematik dan rasional dengan mengguna pakai bukti serta analisis terbaik.
“Saya senang dengan kedua-dua laporan tersebut yang mengambil kira persoalan daripada pelbagai pihak tentang TPPA. Hakikat bahawa laporan kajian itu menyatakan bahawa Malaysia secara keseluruhannya akan mendapat manfaat dengan menyertai TPPA, mengesahkan pandangan kami selama ini mengenai liberalisasi yang bagus untuk rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan tidak menjalankan usaha yang baik dalam menjelaskan soal TPPA walau mempunyai tempoh lima tahun rundingan. 

Wan Saiful juga berkata, kementerian lain tidak sepatutnya membiarkan beban membuat penjelasan kepada umum itu ke atas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sahaja, sebaliknya perlu bersama-sama membantu sebagai jentera kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau bimbang mengenai pihak yang menentang TPPA hanya kerana golongan itu telah dipengaruhi aktivis yang anti-liberalisasi.

“Para aktivis ini akan membantah TPPA walaupun kajian menyatakan ia mempunyai kebaikan. Mereka telah membantah selama bertahun-tahun, sebelum membaca teks sebenar perjanjian atau menghadam rumusan daripada dua kajian itu.

“Sekarang ini pun mereka terus membantahnya meskipun dengan perkembangan terbaharu,” kata beliau.

Wan Saiful juga mengajak orang ramai membaca laporan dan membuat keputusan berdasarkan fakta.

“Kita perlu ketepikan tuduhan yang direka-reka olehh mereka yang dipengaruhi ideologi berbanding mengetahui fakta.

“Dalam masa yang sama, dua analisis manfaat kos menyatakankan bahawa Malaysia teah mendapat pelbagai pengecualian dalam TPP, seperti hal-hal melibatkan polisi Bumiputera dan GLC,” jelas beliau.

Wan Saiful juga memahami keperluan politik jangka pendek bagi pengecualian tersebut, namun dari perspektif kebajikan jangka masa panjang rakyat, pengecualian itu akan menghalang manfaat penuh TPPA.

“Ini bermakna Malaysia tidak akan mendapat manfaat maksimum dalam liberalisasi ini,” ujarnya.