Enam Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat 10 teguran punitif melibatkan enam kementerian bagi Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 .

Kementerian yang terbabit adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, siasatan ini bertujuan untuk memperoleh keterangan yang relevan dari aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan.

"Tindakan tatatertib, surcaj atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai sekiranya didapati wujud asas kukuh bahawa pegawai telah melakukan salah laku atau kecuaian," katanya ketika berucap pada sesi bersama media susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, berdasarkan siasatan sehingga 22 November 2016, tiga teguran daripada 10 teguran itu mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib melibatkan lima pegawai.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) telah mengemukakan surat Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat 32 teguran punitif yang melibatkan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

Secara keseluruhan terdapat 944 teguran dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 iaitu 902 teguran pembetulan dan 42 teguran punitif.

18 daripada 42 teguran punitif itu juga membabitkan 19 pegawai kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib.