Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Malaysia (ERC) akan mengemukakan laporan berhubung cadangan pendaftaran parti politik diambil alih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman berkata laporan itu dijangka disiapkan akhir tahun ini sejurus selesai sesi libat urus di seluruh negara sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Menurut beliau, pihaknya akan mengambil kira dapatan menerusi sesi libat urus tersebut dan kajian awal akan dilaksanakan.

“Jika kerajaan terima (pendaftaran) akan dipindah kepada SPR dari RoS (Pendaftar Pertubuhan). Kita rasa ini lebih sesuai sebab SPR itu badan bebas tidak dikuasai oleh mana-mana pihak.

“RoS di bawah kerajaan, organisasi di bawah kerajaan. Kalau kerajaan terima, cadangan ini mudah sahaja tanggungjawab itu dipindah daripada RoS tetapi RoS masih ada, dia boleh terus jadi pendaftar pertubuhan tetapi tidak politik lagi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang mengadakan sesi pertemuan secara khusus dengan kumpulan sasar seperti parti-parti politik, golongan kurang upaya dan sebagainya.

Sebelum ini ERC mencadangkan untuk mengkaji pindahan bidang kuasa pendaftaran dan kawal selia parti politik daripada RoS kepada badan pengurus pilihan raya.

Usaha itu bagi memperkasa badan pengurus pilihan raya di negara ini supaya mempunyai kuasa dalam mengurus pilihan raya sepenuhnya.