Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengeluarkan laporan awal siasatan nahas helikopter awam yang terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih petang semalam, dalam masa seminggu, kata Pengarah Operasi Penerbangan DCA Datuk Yahaya Abdul Rahman.

Beliau berkata pada masa ini tumpuan DCA dan pasukan penyelamat ialah mencari perakam suara dan mengumpul serpihan helikopter itu untuk siasatan lanjut.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Yahaya berkata DCA akan bekerjasama dengan syarikat pengeluar helikopter, Airbus dari France untuk membantu siasatan dari sudut teknikal.

Siasatan itu turut melibatkan tiga wakil DCA dan dua anggota biro siasatan nahas kemalangan udara dari Kementerian Pengangkutan, yang kini berada di lokasi kejadian.

"DCA datang dan hendak tengok daripada atas (semasa memantau lokasi nahas dari udara) kalau ada apa-apa yang perlu dibantu. Kita hendak tengok jika ada benda yang jatuh sebelum nahas itu.

"Selepas itu saya hendak tengok bangkai helikopter sebelum membuat perancangan untuk siasatan lanjut. DCA minta bantuan dari pasukan penyelamat lain," katanya.

Yahaya mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rakaman percakapan terakhir antara juruterbang dan menara kawalan.

"Kami perlu menilai dari segi masalah mekanikal jika ada. Saksi berkata nampak helikopter terjunam," katanya.

Mengenai spekulasi sama ada helikopter meletup di udara atau terlanggar pencawang, Yahaya berkata DCA tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai spekulasi itu.

Namun, melalui pemerhatian peribadi, beliau mendapati tiada pencawang di sekitar lokasi kejadian yang merupakan lembah dan helikopter terjunam kira-kira 1,500 kaki.

Nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening pada Sabtu petang (semalam), telah mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan Datuk Tan Huat Seang.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata pasukan penyiasat khas polis bagi mengenal pasti punca nahas helikopter terhempas di Semenyih itu akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah.

Beliau berkata antara lain, tugas polis adalah untuk menyiasat dan mengumpul bahan bukti nahas itu seperti harta benda, barangan peribadi milik mangsa dan pengecaman identiti mayat.

"Tetapi untuk mengenal pasti punca nahas adalah tugas Jabatan Penerbangan Awam (DCA)... polis cuma membantu DCA sahaja.

"Sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dalam nahas helikopter barulah ia sepenuhnya menjadi kes polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih itu.