Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya laporan awal siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijadikan dokumen awam.

Menurut beliau, langkah itu perlu agar masyarakat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam kes tersebut.

"Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita (tadbir) untuk mereka," ujar Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional dalam ucapan penggulungan Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras pada Ahad malam.

Pada masa yang sama, Muhyiddin mendesak kerajaan supaya menyelesaikan segera isu skandal 1MDB kerana isu itu akan jadi beban kepada UMNO selaku parti yang menunjangi pemerintahan negara.

"Sekarang pun dah ada reman, ada tindakan...saya harap diteruskan kerana lebih cepat lebih baik untuk parti dan kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 14 Julai lalu berkata bahawa laporan awal oleh Ketua Audit Negara yang menyiasat aktiviti 1MDB tidak menemukan sebarang bukti salah laku.

Menurut Ahmad Husni, susulan laporan Ketua Audit Negara itu, dakwaan liar sesetengah pihak termasuk tentang "kehilangan wang sebanyak RM42 bilion dan pemindahan AS$700 juta (RM2.6 bilion) kepada individu tertentu," tidak timbul.

BACA: Jika PRU esok, BN akan kalah - Muhyiddin Yassin

BACA: Lagi kita hentam Tun Mahathir, lagi kedudukan kita jatuh - Muhyiddin

BACA: 1MDB: Kalau The Edge tidak betul, beritahu saya apa yang betul - Muhyiddin

BACA: Sorotan seminggu isu 1MDB