Selepas didakwa menetap di Emeriah Arab Bersatu (UAE) serta memperoleh pasport dari negara Cyprus, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dikesan berada di India pula.

Lelaki dalam buruan yang berusia 38 tahun itu dikatakan berada di negara itu atas urusan perniagaan.

Bagaimanapun laporan keberadaan Jho Low di India itu disahkan palsu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Fake news (berita palsu)," demikian reaksi Abdul Hamid dalam pesanan yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal Asia Times yang berpangkalan di Hong Kong bahawa Jho Low berada di India bagi urusan lawatan selama tiga hari dan ahli perniagaan itu juga dalam pemerhatian pihak polis.

Laporan berita itu turut disiarkan di portal berita berita The Star.

Jho Low didakwa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad pada 5 November lalu menaiki pesawat peribadi sebelum ke Dubai.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara mendedahkan ahli perniagaan dalam buruan itu sedang berusaha membeli harta di Cyprus menggunakan nama seseorang indidvidu.

Menurut Hamid, usaha mendapatkan Jho Low juga berdepan kesukaran selepas negara (yang melindungi Jho Low) enggan memberikan kerjasama.



BACA: Jho Low akan dicari hingga ke 'lubang cacing' sekalipun - Muhyiddin